May 23, 2016
Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Razak hari ini meluluskan peruntukan berjumlah RM78 juta bagi kos pembangunan semula Kompleks Pasar Besar Kedai Payang.
Projek itu merangkumi pembinaan Pasar Payang 2, meroboh dan membina baru Pasar Payang 1, satu set escalator di Pasar Payang 1, menara jam, tempat letak kereta, skybridge serta membina kemudahan surau yang baharu.
Najib berkata, projek dibawah peruntukan Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu dijangka siap tahun 2018 dan ia diharap memberi lebih keselesaan kepada peniaga, pembeli serta pelancong.
“Dengan terlaksananya projek ini, maka para peniaga dapat berniaga dengan keadaan lebih selesa.
“Saya juga yakin industri pelancongan juga akan lebih maju,” beliau berkata demikian ketika ditemui semasa lawatannya ke Pasar Besar Kedai Payang hari ini.
Pada program santai itu, lebih 10,000 penduduk sekitar Kuala Terengganu serta peniaga di Pasar Payang menyambut kedatangan beliau yang tiba pada pukul 9.15 pagi tadi bersama Menteri Besar, Ahmad Razif Abd Rahman dan Ahli-Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri serta ketua-ketua jabatan.
Selain bersarapan pagi bersama peniaga pasar tersebut, Najib turut bertemu dengan pengayuh beca dan pengusaha bot penambang serta meninjau aktiviti perniagaan di pasar berkenaan.
No comments:
Post a Comment