Tuesday, April 19, 2016

Kawasan Setiu Wetland Diperluas

April 19, 2016

Tanah Bencah Setiu atau dikenali sebagai Setiu Wetland akan diperluaskan kawasannya sehingga ke Merang, Setiu.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan Negeri, Dato’ Mohd Jidin Shafee berkata buat masa sekarang keluasan Setiu Wetland adalah seluas 400 hektar bermula dari Kuala Setiu ke cabang Sungai Penarik.

Beliau berkata, bagi menyelenggara kawasan tersebut, peruntukan daripada kerajaan negeri dan beberapa agensi lain.

“Sekarang ini, tidak kurang daripada RM8 juta telah diperuntukkan oleh kerajaan negeri melalui Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) bagi membolehkan pergerakan awal pembangunan Setiu Wetland dapat dibuat serta merta.

“Selain itu, peruntukan sebanyak RM5 juta daripada Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan turut diterima bagi menjalankan kerja-kerja disini,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas merasmikan Majlis Perasmian Sambutan Hari Hutan Antarabangsa Peringkat Negeri Terengganu 2016 di Kampung Mangkok, Setiu.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif WWF Malaysia, Dato’ Dr Dionysius S.K. Sharma, Pegawai Daerah Setiu, Talaha Ali dan Pengarah Perhutanan Negeri Terengganu, Dato’ Azmi Nordin.

Tambah Mohd Jidin, buat masa sekarang, Pejabat Tanah dan Daerah Setiu telah membenarkan kerja-kerja awal dalam melaksaknakan beberapa perkara.

“Antara kerja-kerja yang telah mendapat kelulusan adalah kerja mandalam dan membuat beberapa pusat pendaratan (jeti) bagi memolehkan kerja pengurusan, kerja sosial dan kerja untuk penyelidikan dilaksanakan,” katanya.

Ujarnya lagi, sehingga kini sebanyak 128 spesies burung telah dicatatkan di kawasan Setiu Wetland selain daripada spesies binatang lain seperti tuntung sungai dan juga penyu.

Monday, April 18, 2016

Projek Hotel Quran : 1,528 Naskah Terjemahan Al-Quran Diagih

April 18, 2016

Projek Hotel Quran merupakan satu usaha dakwah kepada bukan Islam untuk mengenali al-Quran dengan lebih menyeluruh dan kini agihan telah dibuat ke hotel ke-10.

Pengerusi Persatuan Darul Fitrah Negeri Terengganu, Norhana Abdullah berkata, program bersama Persatuan Cina Muslim Malaysia (Macma) Negeri Terengganu sehingga kini telah mengagihkan sejumlah 1,528 naskhah terjemahan al-Quran ke 10 hotel dan resort di seluruh negeri Terengganu.

Menurutnya, projek yang telah bermula sejak tahun 2012 hingga 2016 itu telah mengagihkan al-Quran terjemahan di Primula Beach Hotel sebanyak 250 naskhah, Terrapuri Heritage Village, Setiu (30 naskhah), Tanjong Vista (100 naskhah), YT Midtown (100 naskhah), Hotel Permai (250 naskhah) dan Riyaz Heritage, Pulau Duyung sebanyak, 150 naskhah.

“Seterusnya Tabung Haji sebanyak 183 naskhah, Prinzpark (200 naskhah), Grand Continental sebanyak (190) dan di Hotel Sumai Apartment dengan 75 naskhah terjemahan al-Quran,” katanya.

Beliau turut mengucapkan terima kasih dengan kerjasama yang diberikan oleh hotel-hotel tersebut dalam misi dakwah dan juga kerana menyokong Projek Hotel Quran.

Selain menempatkan naskhah al-Quran di bilik-bilik hotel, persatuan tersebut turut menyediakan al-Quran terjemahan berserta rak informasi Islam untuk ditempatkan di lobi hotel dan juga resort sekitar Terengganu.

Zoo Mini Tarikan Baharu Pulau Perhentian

April 18, 2016

Pulau Perhentian bakal mempunyai daya tarikan baharu apabila sebuah zoo mini dijangka memulakan operasi di pulau peranginan tersebut pada tahun depan.

Pengurus Vine Seeds Holdings Sdn Bhd, Amier Abdul Wahab berkata, zoo mini itu akan dibangunkan syarikatnya dengan kerjasama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Pulau Perhentian di Pulau Perhentian Kecil.

Menurutnya, zoo mini bernilai lebih RM1 juta itu akan dibina di atas tapak seluas 1,115 meter persegi tidak jauh dari pantai dan berjarak kira-kira 500 meter dari perkampungan Pulau Perhentian.

“Kerja-kerja pembersihan kawasan sedang dijalankan pada ketika ini dan zoo mini dijangka akan mula beroperasi pada tahun depan.

“Zoo mini berkenaan akan menempatkan spesies haiwan liar di Pulau Perhentian seperti biawak gergasi, monyet dan beberapa jenis burung yang hanya terdapat di pulau ini seperti merpati emas atau lebih dikenali sebagai burung yuna oleh penduduk tempatan,” katanya.

Amier memaklumkan, spesies burung unik yang sering kelihatan di pulau ini adalah rawa (seakan merpati putih), puchong batu, camar topi hitam dan beberapa spesies lain.

Katanya, biawak air di pulau ini juga unik kerana bersaiz besar seperti biawak komodo di kepulauan Indonesia, iaitu hampir menyamai saiz manusia dewasa.

“Apabila haiwan itu ditempatkan di zoo mini, pasti ia akan menjadi tarikan kerana memberi peluang kepada orang ramai untuk melihat haiwan-haiwan yang berasal dari pulau ini.

“Idea untuk bina zoo mini ini tercetus ketika saya masih menuntut di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), iaitu ketika mengikuti program bakti siswa di perkampungan Pulau Perhentian pada 2013,” katanya.

Tambahnya, JKKK dan penduduk turut dilibatkan dalam projek ini kerana kewujudan zoo mini itu bakal memberi peluang pekerjaan kepada penduduk selain berpeluang menambah pendapatan apabila jumlah kehadiran pelancong meningkat.

Mengenai konsep pembinaan zoo mini, beliau menjelaskan, bangunannya akan diperbuat daripada kayu merbau dan akan mempunyai 30 sangkar dan 50 akuarium untuk menempatkan hidupan marin.

“Lebih menarik adalah projek ini diusahakan oleh tenaga muda yang berkemahiran dalam pelbagai bidang.

“Pada masa sama, kami sedang berurusan dengan pelbagai agensi berkaitan untuk pembinaan zoo mini termasuk Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar serta Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan),” katanya.

Masjid Tengku Tengah Zaharah

  Masjid Tengku Tengah Zaharah atau yang lebih biasa disebut Masjid Terapung adalah reka bentuk unik yang dibina di atas platform terapung, ...