Monday, May 23, 2016

PM Lulus RM78 Juta Bangunkan Semula Pasar Payang

May 23, 2016 

 Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Razak hari ini meluluskan peruntukan berjumlah RM78 juta bagi kos pembangunan semula Kompleks Pasar Besar Kedai Payang. 

 Projek itu merangkumi pembinaan Pasar Payang 2, meroboh dan membina baru Pasar Payang 1, satu set escalator di Pasar Payang 1, menara jam, tempat letak kereta, skybridge serta membina kemudahan surau yang baharu. 

Najib berkata, projek dibawah peruntukan Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu dijangka siap tahun 2018 dan ia diharap memberi lebih keselesaan kepada peniaga, pembeli serta pelancong. 

“Dengan terlaksananya projek ini, maka para peniaga dapat berniaga dengan keadaan lebih selesa. “Saya juga yakin industri pelancongan juga akan lebih maju,” beliau berkata demikian ketika ditemui semasa lawatannya ke Pasar Besar Kedai Payang hari ini. 

Pada program santai itu, lebih 10,000 penduduk sekitar Kuala Terengganu serta peniaga di Pasar Payang menyambut kedatangan beliau yang tiba pada pukul 9.15 pagi tadi bersama Menteri Besar, Ahmad Razif Abd Rahman dan Ahli-Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri serta ketua-ketua jabatan.

Selain bersarapan pagi bersama peniaga pasar tersebut, Najib turut bertemu dengan pengayuh beca dan pengusaha bot penambang serta meninjau aktiviti perniagaan di pasar berkenaan.

Sunday, May 15, 2016

Pesta ‘Ngambat Ikan’ Masuk Kalendar Pelancongan Terengganu

May 15, 2016

Menjadi kelaziman bagi penduduk Kampung Pengkalan Merbau, Setiu mengadakan aktiviti mengerau ikan sungai atau dikenali masyarakat Terengganu sebagai ‘mengambat’ ikan setiap kali tiba musim kemarau. 

Tradisi turun temurun sejak 100 tahun lalu, masih kekal ke hari ini apabila lebih 50 penduduk bersama-sama kakitangan kerajaan dan swasta turun ke Sungai Nerus untuk mengambat ikan. 

Untuk memulakan aktiviti itu, mereka turun seawal jam 7.30 pagi bagi memasang pukat merentangi sungai untuk dijadikan sebagai kawasan kepungan ikan. 

Kemudiannya sebilangan penduduk mengunakan buluh memukul air dari menghalau ikan masuk ke dalam kawasan kepungan itu. Apabila ikan masuk ke dalam perangkap, sekumpulan lagi penduduk menangkap ikan beramai-ramai. 

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan Negeri, Dato’ Mohd Jidin Shafee, berkata pesta sebegini berpotensi ditonjolkan sebagai produk pelancongan baru di Setiu, selain sebagai promosi awal Tahun Melawat Terengganu (TMT) 2017. 

Katanya, sedikit penambahan kepada aktiviti itu, termasuk berakit menyusuri sungai dan pertandingan memasak ikan air tawar pastinya lebih menarik untuk orang ramai dan pelancong luar.

“Juga mengadakan kerjasama dengan pelbagai agensi pelancongan agar memasukkan aktiviti mengambat dalam pakej masing-masing. 

“Langkah itu pastinya mampu mencapai sasaran 5 juta pelancong ke Terengganu pada tahun ini, berbanding 4.5 juta pelancong pada tahun lalu,” katanya 

Beliau berkata demikian selepas Program Mengambat Ikan di Sungai Nerus, anjuran Tourism Terengganu di kampung itu, hari ini. Hadir sama, Speaker DUN, Dato’ Mohd Zubir Embong; ADUN Langkap, Dato’ Sabri Mohd Nor dan ADUN Batu Rakit, Bazlan Abd Rahman. 

Sabri berkata, aktiviti mengambat ikan, bagaikan rutin mingguan bagi penduduk kampung setiap kali tiba musim kemarau. Katanya, penduduk setia menghidupkan aktiviti itu kerana tidak mahu tradisi diamalkan nenek moyang dibiarkan tanpa pewaris. 

“Ketika dahulu, penduduk bergotong royong bermula dengan mencari ranting kayu dan memasak, sebelum bersama-sama menikmati hidangan hasil tangkapan di tepi sungai. 

“Suasana seperti itu, masih kekal diamalkan. Kami membawa semua peralatan seperti dapur, tong gas, periuk dan kuali untuk masak pelbagai lauk,” katanya. 

 Fatihah Aminuddin, 25, dari Batu Rakit berkata dia teruja kerana dapat bersama-sama penduduk Pengkalan Merbau mengerau ikan sungai, lain masa mahu turut serta jika ada peluang. 

“Di kampung saya, hanya ada parit, jadi tidak pernah tengok dan alami aktiviti seumpama itu, sangat puas hati walaupun hasil tangkapan kurang memuaskan sebaik selesai mengerau ambil kesempatan menjamu selera hasil tangkapan bersama penduduk,” katanya.

Friday, May 13, 2016

Terengganu Lancar Bulan Candat Sotong

May 13, 2016 

Bulan Candat Sotong Terengganu 2016 kembali lagi dan di lancarkan petang semalam di D’ Benteng Taman Tamadun Islam (TTI) oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan Negeri, Dato’ Mohd Jidin Shafee. 

Menurutnya, program itu memberi makluman kepada orang ramai mengenai musim mencandat di Terengganu iaitu antara April hingga Jun setiap tahun. 

“Ia sebagai kesinambungan momentum promosi yang telah dibuat pada tahun sebelum ini bagi menarik lebih ramai pengunjung ke Terengganu dengan merasai sendiri keseronokan mencandat sotong,” katanya. 

Mohd Jidin berkata, kerajaan turut mengadakan kerjasama dengan Persatuan Pengusaha Agensi Kembara dan Agensi Pelancongan Malaysia (MATTA), Persatuan Hotel Malaysia (MAH) dan Persatuan Hotel Bajet Malaysia (MBHA) bagi memajukan industri pelancongan Terengganu.

“Dengan kerjasama ini kita mampu menawarkan pakej mencadat yang inovatif, kreatif dan ‘value for money’ kepada pengunjung domestik dan antarabangsa. 

“Diharapkan kempen ini dapat mempromosikan Tahun Melawat Terengganu 2017 serta bertepatan dengan salah satu daripada prinsip iaitu membantu meningkatkan kesejahteraan rakyat melalui penjanaan pendapatan dalam industri pelancongan” ujarnya.

Thursday, May 12, 2016

Festival Peranakan Terengganu Bakal Tarik 150,000 Pengunjung

May 12, 2016 

Kerajaan negeri dengan kerjasama Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Terengganu (DPPCT) bakal meneruskan penganjuran Festival Peranakan Terengganu di Kampung Cina, Kuala Terengganu bermula 27 Mei hingga 2 Jun ini. 

Ketua Pegawai Eksekutif Sekretariat Pesona Terengganu, Dato’ Mustafar Khalid berkata, festival yang memasuki tahun ketiga penganjuran, bertujuan memartabatkan semula warisan serta peranakan masyarakat Cina di Terengganu disasarkan bakal menggamit kunjungan 150,000 pelawat dari dalam serta luar Terengganu. 

Manakala pada tahun lepas, festival tersebut merekodkan kedatangan kira-kira 100,000 pengunjung.

“Festival tujuh hari ini sudah pastinya akan mengetengah dan menyuburkan tradisi masyarakat Cina melalui proses penyerapan budaya setempat dengan menampilkan keunikan tersendiri sekaligus menjadi satu daripada produk pelancongan negeri. 

“Pada masa yang sama, kita juga mahu menjadikan Kampung Cina sebagai antara destinasi yang mesti dilawati di Terengganu, yang bukan hanya terkenal dengan keindahan kluster pantai dan pulau serta destinasi eko pelancongan, malah juga keunikan produk warisan ,” katanya. 

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat tapak Festival Peranakan Terengganu di Kampung Cina, Kuala Terengganu, hari ini. Turut hadir, Presiden DPPCT, Low Wan Cheong.

Mustafar berkata, sepanjang festival itu, pengunjung akan disajikan dengan pelbagai aktiviti serta pameran bahan peninggalan warisan peranakan Cina dan juga makanan tradisional masyarakat berkenaan. 

Antara aktiviti sampingan lain seperti pameran fotografi peranakan Terengganu, 100 buah bazar peranakan, persembahan artis jalanan, persembahan tarian kebudayaan moden dan tradisional, rumah kedai berhias, perarakan beca berhias, silap mata, permainan tradisional, festival lampu dan selain dihiasi keunikan 50 lampu tanglung. 

“Ia juga selari dengan hasrat kerajaan negeri untuk menjadikan Kampung Cina sebagai destinasi yang dapat menarik kedatangan pelancong ke Terengganu bagi melihat dengan lebih dekat tradisi warisan masyarakat Cina Peranakan melalui penyerapan budaya setempat dan asimilasi dengan masyarakat Melayu yang telah mewujudkan identiti sendiri,”katanya.

Tuesday, May 10, 2016

Bukit Batu Kapal Produk Pelancongan Baharu

May 10, 2016

Bukit Batu Kapal yang terletak di Kampung Gerdong, Telemong bakal diwartakan sebagai tarikan baharu pelancongan di Terengganu. 

Pegawai Hutan Daerah (Terengganu Barat), Mohd Asri Yussof berkata, pihaknya akan mencadangkan kepada Kerajaan Negeri untuk mewartakan kawasan Hutan Simpan Hulu Telemong itu sebagai hutan bernilai tinggi. 

“Sebaik sahaja kita mendapat kelulusan daripada Kerajaan Negeri, pihak kami akan melihat keperluan yang sesuai untuk kawasan ini dimajukan termasuk mengekalkan trek laluan secara semulajadi. 

“Sekiranya Kerajaan Negeri memutuskan Bukit Batu Kapal ini dijadikan sebagai kawasan Hutan Lipur maka perancangan yang rapi diperlukan untuk memulakannya sebagai kawasan pelancongan,” katanya lagi. 

Sementara itu, Pengarah Tourism Malaysia Terengganu, Zaliha Zainuddin memberitahu, pihaknya giat mempromosikan tempat menarik di Terengganu melalui program ‘Cuti Cuti 1 Malaysia Dekat Je’ bagi memperkenalkan produk pelancongan baharu di negeri ini.

“Saya melihat Bukit Batu kapal ini mempunyai potensi untuk dipromosikan di peringkat domestik sebagai produk pelancongan melalui tarikan alam sekitar yang ada. 

“Tidak mustahil ianya juga boleh dipromosikan sehingga peringkat antabangsa setelah ianya diluluskan sebagai destinasi hutan lipur terbaru dan kita akan mendapatkan peruntukan untuk membina kemudahan bagi tujuan promosi,”ujarnya lagi 

Turut serta dalam program ini, Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia Negeri yang juga ADUN Telemong, Dato’ Rozi Mamat, Ketua-Ketua Jabatan dan media. Bukit Batu Kapal terletak 500 kaki dari paras laut dan mengambil masa 45 minit untuk sampai ke puncak. 

Menurut cerita orang-orang terdahulu, sebuah kapal yang dikatakan telah bertukar menjadi batu berhampiran dengan air terjun yang sangat cantik dan belum terjejas oleh aktiviti manusia. 

Katanya, kapal tersebut merupakan sebuah kapal besar milik pedagang dari China yang terkandas ratusan tahun yang lalu.

Pesta Candat Sotong Kembali Meriah

May 10, 2016 

Kemeriahan aktiviti candat sotong di perairan Terengganu membuka tirainya dengan pelancaran Bulan Festival Candat Sotong Antarabangsa Terengganu 2016 di Taman Tamadun Islam (TTI), Khamis ini. 

Pelancaran akan disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan Negeri, Dato’ Mohd Jidin Shafee. Pengurus Promosi Pelancongan Terengganu, Ahmad Fathil Abd Ghani, berkata majlis itu sebagai platform mempromosikan kempen Tahun Melawat Terengganu 2017, bakal memberi makluman kepada orang ramai bermulanya musim mencandat sotong dari April hingga Jun setiap tahun.  

“Program ini juga impak atau kesinambungan daripada promosi yang dibuat pada tahun-tahun sebelum ini bagi menarik lebih ramai pengunjung ke Terengganu supaya merasai sendiri keseronokan aktiviti itu di samping berpeluang melawat destinasi lain. 

“Aktiviti riadah yang bersesuaian dengan semua peringkat usia serta memartabatkan aktiviti warisan berzaman masyarakat nelayan yang sinonim dengan kegiatan di pesisir pantai, selain memperkenalkan destinasi pesisir air di Terengganu,” katanya dalam satu kenyataan kepada media. 

Ahmad Fathil berkata, pelancaran itu juga antara lain untuk memperkenalkan satu lagi tarikan pelancongan yang unik dan menarik melibatkan kluster pulau dan pantai yang kaya dengan keindahan pantai, air yang bersih dan jernih serta kepelbagaian hidupan marin dan terumbu karang. 

Tambah beliau, ia juga sebagai memartabatkan aktiviti berkenaan sebagai satu ikon pelancongan negeri serta simbolik pemberitahuan bermulanya bulan mencandat sotong selepas redanya musim tengkujuh di Terengganu. 

Katanya, program itu mewujudkan kerjasama yang jitu kerajaan negeri menerusi secretariat Pesona dengan Persatuan pengusaha Agensi kembara dan Agensi Pelancongan Malaysia (MATTA), Persatuan Hotel Malaysia (MAH) dan Persatuan Hotel Bajet Malaysia dalam memperkenalkan aktiviti mencandat sotong menerusi pakej mencandat yang inovatif, kreatif dan menjana pulangan. 

Menurut Ahmad Fathil, pesta candat sotong mula diperkenalkan oleh kerajaan negeri sejak 1991 sehingga 1999 bermula Mei hingga Julai di kawasan perairan Pulau kapas serta Pulau Gemia, Marang. 

“Pada 2004 hingga 2012, pesta itu diteruskan semula bagi mempromosikan acara candat sotong secara sistematik dan besar-besaran secara komersial di lokasi-lokasi kepulauan serta persisiran pantai sekitar Terengganu. 

“Kemeriahan acara di sepanjang lautan Laut China Selatan akan kelihatan lampu-lampu bot candat berkelipan seolah-olah satu pesta sedang berlangsung apabila musim mencandat bermula,” katanya.

Thursday, May 5, 2016

Duyong Art Festival Himpun Lebih 50 Usahawan Seni Kreatif

May 5, 2016

Duyong Art Festival (DAF) 2016 yang akan berlangsung selama dua hari bermula esok di Perkarangan Jeti Pulau Duyong, Kuala Terengganu bakal menghimpunkan lebih 50 usahawan seni kreatif negeri ini.

Penyelaras acara, Nik Mohd. Hazuwal Nik Lah berkata, festival kali kedua dianjurkan Duyong Art Gallery bersama Terengganu Backpackers itu menyasarkan kehadiran lebih 5000 pengunjung.

“Acara ini merupakan karnival seni berkonsep santai yang menjadi tarikan terutamanya kepada golongan muda dan belia terhadap hasil seni tempatan dan juga produk Terengganu.

“Anak-anak muda ini akan berkampung disini secara santai untuk mengadakan pameran, jualan serta persembahan jalanan di sekitar dataran. Uniknya, sebahagian usahawan ini akan berkarya dengan produk masing-masing diatas jeti Pulau Duyong,” ujarnya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya, antara pengisian aktiviti sepanjang festival berlangsung termasuk pameran seni kraftangan, arca, makanan tradisional serta persembahan seni budaya termasuk oleh pemuzik jalanan.

“Disamping itu, tidak ketinggalan pelbagai aktiviti menarik melibatkan warga kampung seperti permainan tradisional dan cabaran nelayan,” ujarnya.

Menurut beliau, selain dapat ketengahkan bakat-bakat terpendam anak muda, ia juga bertujuan menghimpun penggiat seni negeri ini dibawah satu bumbung agar maklumat yang berkaitan dapat diperolehi dan disalurkan dengan mudah kepada sasaran.

Katanya, penganjuran DAF 2016 turut mendapat sokongan dan kerjasama oleh pelbagai agensi kerajaan mahupun swasta, penggiat seni kreatif dan seni jalanan antaranya Kerajaan Negeri Terengganu, Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia, Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu, Pejabat Daerah Kuala Terenganu dan pelbagai agensi lain.

“Orang ramai dijemput memeriahkan DAF 2016, malah pengusaha bot Pulau Duyong menyediakan pengangkutan khas bot penambang ulang alik dari Pulau Warisan ke Jeti Pulau Duyong,” ujarnya.

Masjid Tengku Tengah Zaharah

  Masjid Tengku Tengah Zaharah atau yang lebih biasa disebut Masjid Terapung adalah reka bentuk unik yang dibina di atas platform terapung, ...