Tuesday, November 15, 2011

Bot Pelancongan Ikon Terbaru Terengganu

Pertama seumpamanya di Malaysia, bas bandar yang mempunyai ciri ukiran kayu tradisional negeri selain bentuk dalaman yang selesa dan unik telah mendapat perhatian ramai terutama para pelancong sejak dilancarkan pada tahun 2007.



Semalam, satu lagi kemudahan pengangkutan yang melalui proses naik taraf bot penambang kepada bot pelancong, bakal menjadi ikon terbaru aktiviti menyusuri muara dan Sungai Terengganu.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, Dato' Abdul Rahin Mohd. Said berkata, selain memaparkan kreativiti dan kesungguhan Terengganu memajukan sektor pelancongan, dua buah bot berkenaan menjadi daya penarik mempromosi ekopelancongan di negeri ini.

Menurutnya, produk pelancongan seperti 'nipah cruise', perusahaan ikan kering, bilis dan makanan laut serta kegiatan membuat bot tradisional di sekitar Seberang Takir mampu dikomersilkan untuk menambahkan pendapatan golongan nelayan.



"Bot yang bernilai RM250,000 setiap satu itu mempunyai 22 tempat duduk dan bakal menjadi pilihan utama untuk ke lokasi pelancongan Terengganu seperti Taman Tamadun Islam, Terusan Pulau Warisan, Pulau Duyong, Kompleks Tuanku Nur Zahirah dan Pasar Payang.

"Ia juga menonjolkan keupayaan tukang bot tempatan, Sulong Draman yang membina bot berkenaan," katanya pada majlis penyerahan bot berkenaan daripada Kerajaan negeri kepada Koperasi Warisan Seberang Takir Terengganu Berhad di Seberang Takir, petang semalam.

Hadir menerima penyerahan berkenaan, Pengerusi koperasi itu, Ahmad Razif Abd. Rahman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Takir.

Tambah Dato' Abdul Rahin, dengan kemudahan itu, Seberang Takir akan lebih membangun dan penduduknya, rata-rata nelayan akan mendapat manfaat daripada projek pelancongan itu.




No comments:

Post a Comment

Masjid Tengku Tengah Zaharah

  Masjid Tengku Tengah Zaharah atau yang lebih biasa disebut Masjid Terapung adalah reka bentuk unik yang dibina di atas platform terapung, ...