May 12, 2016
Kerajaan negeri dengan kerjasama Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Terengganu (DPPCT) bakal meneruskan penganjuran Festival Peranakan Terengganu di Kampung Cina, Kuala Terengganu bermula 27 Mei hingga 2 Jun ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Sekretariat Pesona Terengganu, Dato’ Mustafar Khalid berkata, festival yang memasuki tahun ketiga penganjuran, bertujuan memartabatkan semula warisan serta peranakan masyarakat Cina di Terengganu disasarkan bakal menggamit kunjungan 150,000 pelawat dari dalam serta luar Terengganu.
Manakala pada tahun lepas, festival tersebut merekodkan kedatangan kira-kira 100,000 pengunjung.
“Festival tujuh hari ini sudah pastinya akan mengetengah dan menyuburkan tradisi masyarakat Cina melalui proses penyerapan budaya setempat dengan menampilkan keunikan tersendiri sekaligus menjadi satu daripada produk pelancongan negeri.
“Pada masa yang sama, kita juga mahu menjadikan Kampung Cina sebagai antara destinasi yang mesti dilawati di Terengganu, yang bukan hanya terkenal dengan keindahan kluster pantai dan pulau serta destinasi eko pelancongan, malah juga keunikan produk warisan ,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat tapak Festival Peranakan Terengganu di Kampung Cina, Kuala Terengganu, hari ini.
Turut hadir, Presiden DPPCT, Low Wan Cheong.
Mustafar berkata, sepanjang festival itu, pengunjung akan disajikan dengan pelbagai aktiviti serta pameran bahan peninggalan warisan peranakan Cina dan juga makanan tradisional masyarakat berkenaan.
Antara aktiviti sampingan lain seperti pameran fotografi peranakan Terengganu, 100 buah bazar peranakan, persembahan artis jalanan, persembahan tarian kebudayaan moden dan tradisional, rumah kedai berhias, perarakan beca berhias, silap mata, permainan tradisional, festival lampu dan selain dihiasi keunikan 50 lampu tanglung.
“Ia juga selari dengan hasrat kerajaan negeri untuk menjadikan Kampung Cina sebagai destinasi yang dapat menarik kedatangan pelancong ke Terengganu bagi melihat dengan lebih dekat tradisi warisan masyarakat Cina Peranakan melalui penyerapan budaya setempat dan asimilasi dengan masyarakat Melayu yang telah mewujudkan identiti sendiri,”katanya.