Tuesday, May 10, 2016

Bukit Batu Kapal Produk Pelancongan Baharu

May 10, 2016

Bukit Batu Kapal yang terletak di Kampung Gerdong, Telemong bakal diwartakan sebagai tarikan baharu pelancongan di Terengganu. 

Pegawai Hutan Daerah (Terengganu Barat), Mohd Asri Yussof berkata, pihaknya akan mencadangkan kepada Kerajaan Negeri untuk mewartakan kawasan Hutan Simpan Hulu Telemong itu sebagai hutan bernilai tinggi. 

“Sebaik sahaja kita mendapat kelulusan daripada Kerajaan Negeri, pihak kami akan melihat keperluan yang sesuai untuk kawasan ini dimajukan termasuk mengekalkan trek laluan secara semulajadi. 

“Sekiranya Kerajaan Negeri memutuskan Bukit Batu Kapal ini dijadikan sebagai kawasan Hutan Lipur maka perancangan yang rapi diperlukan untuk memulakannya sebagai kawasan pelancongan,” katanya lagi. 

Sementara itu, Pengarah Tourism Malaysia Terengganu, Zaliha Zainuddin memberitahu, pihaknya giat mempromosikan tempat menarik di Terengganu melalui program ‘Cuti Cuti 1 Malaysia Dekat Je’ bagi memperkenalkan produk pelancongan baharu di negeri ini.

“Saya melihat Bukit Batu kapal ini mempunyai potensi untuk dipromosikan di peringkat domestik sebagai produk pelancongan melalui tarikan alam sekitar yang ada. 

“Tidak mustahil ianya juga boleh dipromosikan sehingga peringkat antabangsa setelah ianya diluluskan sebagai destinasi hutan lipur terbaru dan kita akan mendapatkan peruntukan untuk membina kemudahan bagi tujuan promosi,”ujarnya lagi 

Turut serta dalam program ini, Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia Negeri yang juga ADUN Telemong, Dato’ Rozi Mamat, Ketua-Ketua Jabatan dan media. Bukit Batu Kapal terletak 500 kaki dari paras laut dan mengambil masa 45 minit untuk sampai ke puncak. 

Menurut cerita orang-orang terdahulu, sebuah kapal yang dikatakan telah bertukar menjadi batu berhampiran dengan air terjun yang sangat cantik dan belum terjejas oleh aktiviti manusia. 

Katanya, kapal tersebut merupakan sebuah kapal besar milik pedagang dari China yang terkandas ratusan tahun yang lalu.

Pesta Candat Sotong Kembali Meriah

May 10, 2016 

Kemeriahan aktiviti candat sotong di perairan Terengganu membuka tirainya dengan pelancaran Bulan Festival Candat Sotong Antarabangsa Terengganu 2016 di Taman Tamadun Islam (TTI), Khamis ini. 

Pelancaran akan disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan Negeri, Dato’ Mohd Jidin Shafee. Pengurus Promosi Pelancongan Terengganu, Ahmad Fathil Abd Ghani, berkata majlis itu sebagai platform mempromosikan kempen Tahun Melawat Terengganu 2017, bakal memberi makluman kepada orang ramai bermulanya musim mencandat sotong dari April hingga Jun setiap tahun.  

“Program ini juga impak atau kesinambungan daripada promosi yang dibuat pada tahun-tahun sebelum ini bagi menarik lebih ramai pengunjung ke Terengganu supaya merasai sendiri keseronokan aktiviti itu di samping berpeluang melawat destinasi lain. 

“Aktiviti riadah yang bersesuaian dengan semua peringkat usia serta memartabatkan aktiviti warisan berzaman masyarakat nelayan yang sinonim dengan kegiatan di pesisir pantai, selain memperkenalkan destinasi pesisir air di Terengganu,” katanya dalam satu kenyataan kepada media. 

Ahmad Fathil berkata, pelancaran itu juga antara lain untuk memperkenalkan satu lagi tarikan pelancongan yang unik dan menarik melibatkan kluster pulau dan pantai yang kaya dengan keindahan pantai, air yang bersih dan jernih serta kepelbagaian hidupan marin dan terumbu karang. 

Tambah beliau, ia juga sebagai memartabatkan aktiviti berkenaan sebagai satu ikon pelancongan negeri serta simbolik pemberitahuan bermulanya bulan mencandat sotong selepas redanya musim tengkujuh di Terengganu. 

Katanya, program itu mewujudkan kerjasama yang jitu kerajaan negeri menerusi secretariat Pesona dengan Persatuan pengusaha Agensi kembara dan Agensi Pelancongan Malaysia (MATTA), Persatuan Hotel Malaysia (MAH) dan Persatuan Hotel Bajet Malaysia dalam memperkenalkan aktiviti mencandat sotong menerusi pakej mencandat yang inovatif, kreatif dan menjana pulangan. 

Menurut Ahmad Fathil, pesta candat sotong mula diperkenalkan oleh kerajaan negeri sejak 1991 sehingga 1999 bermula Mei hingga Julai di kawasan perairan Pulau kapas serta Pulau Gemia, Marang. 

“Pada 2004 hingga 2012, pesta itu diteruskan semula bagi mempromosikan acara candat sotong secara sistematik dan besar-besaran secara komersial di lokasi-lokasi kepulauan serta persisiran pantai sekitar Terengganu. 

“Kemeriahan acara di sepanjang lautan Laut China Selatan akan kelihatan lampu-lampu bot candat berkelipan seolah-olah satu pesta sedang berlangsung apabila musim mencandat bermula,” katanya.

Thursday, May 5, 2016

Duyong Art Festival Himpun Lebih 50 Usahawan Seni Kreatif

May 5, 2016

Duyong Art Festival (DAF) 2016 yang akan berlangsung selama dua hari bermula esok di Perkarangan Jeti Pulau Duyong, Kuala Terengganu bakal menghimpunkan lebih 50 usahawan seni kreatif negeri ini.

Penyelaras acara, Nik Mohd. Hazuwal Nik Lah berkata, festival kali kedua dianjurkan Duyong Art Gallery bersama Terengganu Backpackers itu menyasarkan kehadiran lebih 5000 pengunjung.

“Acara ini merupakan karnival seni berkonsep santai yang menjadi tarikan terutamanya kepada golongan muda dan belia terhadap hasil seni tempatan dan juga produk Terengganu.

“Anak-anak muda ini akan berkampung disini secara santai untuk mengadakan pameran, jualan serta persembahan jalanan di sekitar dataran. Uniknya, sebahagian usahawan ini akan berkarya dengan produk masing-masing diatas jeti Pulau Duyong,” ujarnya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya, antara pengisian aktiviti sepanjang festival berlangsung termasuk pameran seni kraftangan, arca, makanan tradisional serta persembahan seni budaya termasuk oleh pemuzik jalanan.

“Disamping itu, tidak ketinggalan pelbagai aktiviti menarik melibatkan warga kampung seperti permainan tradisional dan cabaran nelayan,” ujarnya.

Menurut beliau, selain dapat ketengahkan bakat-bakat terpendam anak muda, ia juga bertujuan menghimpun penggiat seni negeri ini dibawah satu bumbung agar maklumat yang berkaitan dapat diperolehi dan disalurkan dengan mudah kepada sasaran.

Katanya, penganjuran DAF 2016 turut mendapat sokongan dan kerjasama oleh pelbagai agensi kerajaan mahupun swasta, penggiat seni kreatif dan seni jalanan antaranya Kerajaan Negeri Terengganu, Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia, Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu, Pejabat Daerah Kuala Terenganu dan pelbagai agensi lain.

“Orang ramai dijemput memeriahkan DAF 2016, malah pengusaha bot Pulau Duyong menyediakan pengangkutan khas bot penambang ulang alik dari Pulau Warisan ke Jeti Pulau Duyong,” ujarnya.

Tuesday, April 19, 2016

Kawasan Setiu Wetland Diperluas

April 19, 2016

Tanah Bencah Setiu atau dikenali sebagai Setiu Wetland akan diperluaskan kawasannya sehingga ke Merang, Setiu.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan Negeri, Dato’ Mohd Jidin Shafee berkata buat masa sekarang keluasan Setiu Wetland adalah seluas 400 hektar bermula dari Kuala Setiu ke cabang Sungai Penarik.

Beliau berkata, bagi menyelenggara kawasan tersebut, peruntukan daripada kerajaan negeri dan beberapa agensi lain.

“Sekarang ini, tidak kurang daripada RM8 juta telah diperuntukkan oleh kerajaan negeri melalui Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) bagi membolehkan pergerakan awal pembangunan Setiu Wetland dapat dibuat serta merta.

“Selain itu, peruntukan sebanyak RM5 juta daripada Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan turut diterima bagi menjalankan kerja-kerja disini,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas merasmikan Majlis Perasmian Sambutan Hari Hutan Antarabangsa Peringkat Negeri Terengganu 2016 di Kampung Mangkok, Setiu.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif WWF Malaysia, Dato’ Dr Dionysius S.K. Sharma, Pegawai Daerah Setiu, Talaha Ali dan Pengarah Perhutanan Negeri Terengganu, Dato’ Azmi Nordin.

Tambah Mohd Jidin, buat masa sekarang, Pejabat Tanah dan Daerah Setiu telah membenarkan kerja-kerja awal dalam melaksaknakan beberapa perkara.

“Antara kerja-kerja yang telah mendapat kelulusan adalah kerja mandalam dan membuat beberapa pusat pendaratan (jeti) bagi memolehkan kerja pengurusan, kerja sosial dan kerja untuk penyelidikan dilaksanakan,” katanya.

Ujarnya lagi, sehingga kini sebanyak 128 spesies burung telah dicatatkan di kawasan Setiu Wetland selain daripada spesies binatang lain seperti tuntung sungai dan juga penyu.

Monday, April 18, 2016

Projek Hotel Quran : 1,528 Naskah Terjemahan Al-Quran Diagih

April 18, 2016

Projek Hotel Quran merupakan satu usaha dakwah kepada bukan Islam untuk mengenali al-Quran dengan lebih menyeluruh dan kini agihan telah dibuat ke hotel ke-10.

Pengerusi Persatuan Darul Fitrah Negeri Terengganu, Norhana Abdullah berkata, program bersama Persatuan Cina Muslim Malaysia (Macma) Negeri Terengganu sehingga kini telah mengagihkan sejumlah 1,528 naskhah terjemahan al-Quran ke 10 hotel dan resort di seluruh negeri Terengganu.

Menurutnya, projek yang telah bermula sejak tahun 2012 hingga 2016 itu telah mengagihkan al-Quran terjemahan di Primula Beach Hotel sebanyak 250 naskhah, Terrapuri Heritage Village, Setiu (30 naskhah), Tanjong Vista (100 naskhah), YT Midtown (100 naskhah), Hotel Permai (250 naskhah) dan Riyaz Heritage, Pulau Duyung sebanyak, 150 naskhah.

“Seterusnya Tabung Haji sebanyak 183 naskhah, Prinzpark (200 naskhah), Grand Continental sebanyak (190) dan di Hotel Sumai Apartment dengan 75 naskhah terjemahan al-Quran,” katanya.

Beliau turut mengucapkan terima kasih dengan kerjasama yang diberikan oleh hotel-hotel tersebut dalam misi dakwah dan juga kerana menyokong Projek Hotel Quran.

Selain menempatkan naskhah al-Quran di bilik-bilik hotel, persatuan tersebut turut menyediakan al-Quran terjemahan berserta rak informasi Islam untuk ditempatkan di lobi hotel dan juga resort sekitar Terengganu.

Zoo Mini Tarikan Baharu Pulau Perhentian

April 18, 2016

Pulau Perhentian bakal mempunyai daya tarikan baharu apabila sebuah zoo mini dijangka memulakan operasi di pulau peranginan tersebut pada tahun depan.

Pengurus Vine Seeds Holdings Sdn Bhd, Amier Abdul Wahab berkata, zoo mini itu akan dibangunkan syarikatnya dengan kerjasama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Pulau Perhentian di Pulau Perhentian Kecil.

Menurutnya, zoo mini bernilai lebih RM1 juta itu akan dibina di atas tapak seluas 1,115 meter persegi tidak jauh dari pantai dan berjarak kira-kira 500 meter dari perkampungan Pulau Perhentian.

“Kerja-kerja pembersihan kawasan sedang dijalankan pada ketika ini dan zoo mini dijangka akan mula beroperasi pada tahun depan.

“Zoo mini berkenaan akan menempatkan spesies haiwan liar di Pulau Perhentian seperti biawak gergasi, monyet dan beberapa jenis burung yang hanya terdapat di pulau ini seperti merpati emas atau lebih dikenali sebagai burung yuna oleh penduduk tempatan,” katanya.

Amier memaklumkan, spesies burung unik yang sering kelihatan di pulau ini adalah rawa (seakan merpati putih), puchong batu, camar topi hitam dan beberapa spesies lain.

Katanya, biawak air di pulau ini juga unik kerana bersaiz besar seperti biawak komodo di kepulauan Indonesia, iaitu hampir menyamai saiz manusia dewasa.

“Apabila haiwan itu ditempatkan di zoo mini, pasti ia akan menjadi tarikan kerana memberi peluang kepada orang ramai untuk melihat haiwan-haiwan yang berasal dari pulau ini.

“Idea untuk bina zoo mini ini tercetus ketika saya masih menuntut di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), iaitu ketika mengikuti program bakti siswa di perkampungan Pulau Perhentian pada 2013,” katanya.

Tambahnya, JKKK dan penduduk turut dilibatkan dalam projek ini kerana kewujudan zoo mini itu bakal memberi peluang pekerjaan kepada penduduk selain berpeluang menambah pendapatan apabila jumlah kehadiran pelancong meningkat.

Mengenai konsep pembinaan zoo mini, beliau menjelaskan, bangunannya akan diperbuat daripada kayu merbau dan akan mempunyai 30 sangkar dan 50 akuarium untuk menempatkan hidupan marin.

“Lebih menarik adalah projek ini diusahakan oleh tenaga muda yang berkemahiran dalam pelbagai bidang.

“Pada masa sama, kami sedang berurusan dengan pelbagai agensi berkaitan untuk pembinaan zoo mini termasuk Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar serta Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan),” katanya.

Wednesday, March 23, 2016

10 Ribu Pengunjung Serbu Hari Pertama Beautiful Terengganu

March 23, 2016

Kira-kira 10,000 penduduk dalam dan luar Johor yang terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat mengunjungi Program Beautiful Terengganu, di perkarangan pusat beli-belah Angsana, Johor Bahru pada hari pertama penganjuran program penjelajahan itu.

Rata-rata mereka memuji pendekatan Kerajaan Terengganu yang mengmbil inisiatif menganjurkan program seumpama itu sehingga ke Johor Bahru, berikutan pelbagai manfaat dapat diperolehi sepanjang festival berkenaan.

Antaranya, memberi peluang masyakat luar untuk melihat, merasai, mengalami sendiri keunikan pelbagai produk dan memahami keunikan budaya Terengganu secara dekat.

Malah, acara sebegitu juga menjadi platform bagi mewujudkan peluang dan jalinan perniagaan di kalangan pengusaha dan pengedar dari luar Terengganu, termasuk Singapura.

Pengunjung dari Kuala Lumpur, Nalique Hazzwan Zinol, 31, berkata dia ke Program Beautiful Terengganu semata-mata mahu mendapatkan makanan tradisional, terutama ketupat sotong.

Katanya, apabila ke Terengganu makanan yang paling dicari adalah ketupat sotong memandangkan makanan tradisi Terengganu itu menjadi kegemarannya sejak pertama kali mengunjungi negeri itu ketika masih belajar di sekolah menengah lagi.

“Apabila mengetahui `Terengganu’ mahu ke Johor Bahru, hari pertama program saya sudah datang, bagi melihat sendiri apa tarikan yang ada. Bukan sahaja makanan dan produk batik malah sektor pelancongan pun ada.

“Paling menarik, pameran booth Tasik Kenyir yang dilengkapi replika gua, sungai, jejantas, hutan paya bakau dan menggambarkan suasana sebenar pusat pelancongan terkemuka yang pernah saya kunjungi dulu,” katanya.

Pengunjungi tempatan, Roslina Mohd Yusoff, 35 dari Johor Bahru, berkata dia gembira kerana Kerajaan Terengganu memilih negeri itu sebagai lokasi mempromosi produk pelancongan negeri secara besar-besaran.

Katanya, dia percaya langkah berkenaan berupaya membantu Terengganu untuk melonjak namanya di persada antarabangsa khususnya dalam sektor pelancongan.

“Penduduk Singapura suka datang Johor, terutama pada hari Jumaat, juga hari minggu di negara itu (Ahad). Langkah ini pilihan tepat untuk tarik rakyat negara jiran itu untuk ke Terengganu.

“Langkah Kerajaan Terengganu sewajarnya diikuti negeri lain, membawa produk yang ada keluar dari negeri sendiri untuk menemui pelancong secara lebih dekat sambil menikmati kelebihan yang ada,”katanya.

Tuesday, March 1, 2016

Beautiful Terengganu : 36 Agensi Promosi Pakej Pelancongan Terengganu Di Johor

March 1, 2016

Beautiful Terengganu yang akan berlangsung selama lima hari bermula 23 Mac ini di Angsana Johor Bahru Mall bakal membawa kelainan kepada pengunjung.

Tahun lalu, Beautiful Terengganu yang sebelum itu dikenali sebagai Pesona Terengganu hanya menyajikan tiga program utama, tetapi di Johor kali ini terdapat sedikit penambahbaikan bagi menarik lebih ramai pengunjung.

Sekretariat program itu memberitahu, selain tiga program utama yang pernah disajikan pada tahun lepas iaitu ‘Consumer Show’, ‘Trade Show’ dan ‘Terengganu Kitchen’, Beautiful Terengganu turut memperkenalkan ‘Travel Mart’.

‘Travel Mart’ tersebut akan mempromosikan serta menjual pakej-pakej pelancongan dan penginapan yang ada di Terengganu sebagai persiapan menyambut Tahun Melawat Terengganu 2017.

Dijangkakan sebanyak 36 agensi pelancongan bakal memenuhi slot ‘Travel Mart’ dalam Beautiful Terengganu tersebut.

Saturday, February 27, 2016

‘Heritage Trail’ Produk Pelancongan Baharu

February 27, 2016

Tiga kawasan di Terengganu akan dijadikan sebagai Heritage Trail dengan peruntukan sebanyak RM200,000 seperti yang telah diumumkan dalam Bajet Negeri 2016.

Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata dalam ucapannya, seperti yang diumumkan dalam Bajet Negeri 2016, kerajaan negeri telah bersetuju untuk menjadikan tiga kawasan tersebut sebagai kawasan warisan kerana keunikannya.

“Tiga kawasan yang bakal dikenali sebagai Heritage Trail melibatkan Kampung Cina, Losong dan Pasar Chabang Tiga,” katanya.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Speaker DUN, Dato’ Mohd Zubir Embong pada Majlis Sambutan Cap Goh Mei di Kampung Cina, Kuala Terengganu, malam tadi.

Turut hadir ke majlis tersebut, Menteri Pengangkutan Malaysia yang juga Presiden MCA, Dato’ Seri Dr. Liow Tiong Lai.

Dalam ucapan tersebut, Ahmad Razif turut mengalukan cadangan atau idea bernas daripada masyarakat setempat untuk diketengahkan dalam pentadbiran kerajaan.

“Sepertimana prinsip pertama dalam Transformasi Terengganu Baharu (TTB), iaitu inklusif (suara rakyat suara keramat), kita mahukan cadangan dari rakyat untuk dibawa ke dalam pentadbiran rakyat,” katanya.

Wednesday, February 24, 2016

Beautiful Terengganu Ke Johor, Sasar 100,000 Pengunjung

February 24, 2016

‘Beautiful Terengganu’ 2016 yang dijenamakan semula dari Pesona Terengganu 2015 bakal berlangsung selama lima hari bermula 23 hingga 27 Mac ini di perkarangan pusat beli-belah Angsana Johor Bahru, Johor.

Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata penganjuran Beautiful Terengganu pada kali ini diberi sedikit kelainanan jika dibandingkan pada tahun lepas.

Beliau berkata, berikutan daripada keadaan kewangan semasa yang tidak memberangsangkan, bajet bagi penganjuran Beautiful Terengganu 2016 di Angsana Johor Bahru dikurangkan.

“Pada program kali ini, usahawan-usahawan yang menyertainya diminta untuk mengeluarkan sedikit bajet sendiri.

“Selain itu, kita akan gunakan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) bagi membantu kerajaan negeri dalam menjayakan program ini,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas merasmikan Majlis Pra Pelancaran Beautiful Terengganu di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini.

Turut hadir Speaker DUN, Dato’ Mohd Zubir Embong; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Osman Muda dan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan Dan Kebudayaan, Dato’ Mohd Jidin Shafee.

Dalam pada itu, Ahmad Razif berkata penganjuran program tersebut mensasarkan lebih daripada 100,000 pengunjung hadir ke situ sepanjang lima hari ianya berlangsung.

“Saya dimaklumkan oleh pihak Angsana bahawa purata pengunjung yang hadir ke situ hampir mencecah satu juta orang seminggu terutama ketika musim cuti.

“Semasa program ini berjalan, terdapat dua cuti umum untuk negeri Johor dan Singapura. Jadi tiada alasan untuk kita cipta rekod lebih baik daripada perlaksanaan Pesona Terengganu di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur pada tahun lepas,” katanya.

Tambahnya, pada tahun ini, hanya usahawan terbaik yang akan dibawa ke program Beautiful Terengganu dimana mereka telahpun dibuat pemilihan.

Katanya, pertandingan di peringkat daerah telahpun dilakukan bagi mencari usahawan terbaik untuk dibawa menyertai program tersebut.

Disamping itu, Ahmad Razif berkata usahawan yang akan dibawa ke Beautiful Terengganu turut akan dipantau dalam menetapkan harga barangan mereka.

Saturday, February 20, 2016

TMT 2017 : Pantai Batu Buruk Zon Premis Makanan Gred A

February 20, 2016

Premis makanan di Pantai Batu Burok, Kuala Terengganu akan ditransformasikan sebagai Zon Premis Makanan Gred A oleh kerajaan negeri menjelang Tahun Melawat Terengganu 2017.

Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata melihat pada kejayaan yang telah dilakukan oleh Majlis Perbandaran Kemaman (MPK) dalam menjadian Taman Chukai Utama sebagai Zon Premis Makanan Gred A, beliau mahu premis di Batu Burok mengikuti langkah yang telah diambil.

“”Kita nak gerai di Batu Burok mengikut langkah yang dibuat MPK bersama Pejabat Kesihatan Kemaman yang membimbing peniaga sehingga mereka mendapat pengiktirafan kebersihan gred A.

“Saya dah arahkan Unit Perancangan Ekonomi Negeri Terengganu (UPEN) untuk melaksanakan program ini di Batu Burok dan kita nak tahap kebersihan gerai- gerai ditingkatkan selaras dengan prinsip Transformasi Terengganu Baharu (TTB),” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas merasmikan Majlis Konvensyen Mahasiswa Permata di UiTM Dungun, Dungun, semalam.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Luar Bandar, Uasahawan, Koperasi dan Kepenggunaan Negeri, Roslee Daud dan Pengarah Yayasan Terengganu, Mohamad Sulong.

Ahmad Razif berkata, pelaksanaan Zon Premis Makanan Gred A tersebut selari dengan hasrat kerajaan negeri yang mahu menjadikan Terengganu negeri terbersih.

“Kita memang bersunguh-sungguh dalam soal kebersihan yang mana kos pembersihan di negeri ini kita telah tingkatkan daripada RM36 Juta tahun lalu kepada RM72 Juta tahun ini.

“Bagi memastikan negeri ini menjadi hub pelancongan, kita kena pastikan kebersihan menjadi perkara utama dan kita juga sedang memantau harga makanan dan barang di negeri ini supaya tidak ada orang luar merungut lagi harga makanan di sini mahal,” katanya.

Masjid Tengku Tengah Zaharah

  Masjid Tengku Tengah Zaharah atau yang lebih biasa disebut Masjid Terapung adalah reka bentuk unik yang dibina di atas platform terapung, ...