Monday, February 15, 2016

DapoPata Sasar 48 Kontena, Bantu Usahawan Muda

February 15, 2016

DapoPata yang terletak di Pantai Tok Jembal, Kuala Nerus merupakan tapak bazar niaga berkontena tepi pantai pertama di Malaysia.

Berkonsepkan santai, ianya menjadi tumpuan kepada pengunjung tanpa mengira peringkat umur.

Walaupun baru dibuka pada 12 Februari lalu, sambutan pengunjung yang begitu menggalakkan memeranjatkan pengusahanya.

Dengan 1.6 hektar kawasan yang baru digunakan untuk fasa pertama itu menempatkan 22 biji kontena bersaiz enam meter dan hanya menyediakan makanan serta minuman.

Pengusaha Dapo Pata, Affandi Hamzah, 40, berkata idea untuk memulakan tapak bazar tersebut telah tercetus sekian lama namun tidak dapat direalisasikan sehingga pulang ke Terengganu.

Katanya, projek yang diusahakan bersama adik-beradik yang lain itu adalah untuk membantu usahawan-usahawan terutamanya belia Melayu memajukan diri mereka.

“Idea untuk memulakan tapak perniagaan berkonsepkan kontena ini telah tercetus sejak 2008 namun sukar untuk direalisasikan kerana walaupun kami adik-beradik berasal dari Terengganu, semua tinggal di luar kawasan. Namun bermula tahun lepas, kami nekad untuk memulakan perniagaan di Pantai Tok Jembal ini.

“Dengan terbinanya tapak bazar ini, kami dapat membantu usahawan kecil yang betul-betul serius untuk memulakan perniagaan bagi meningkatkan taraf ekonomi rakyat di Terengganu,” katanya kepada teganukita.

Affandi berkata, walaupun banyak tapak bazar niaga baharu di Malaysia, beliau menggunakan konsep berbeza untuk dibawa ke Terengganu.

Konsep perniagaan mengikut peredaran dan kehendak belia masa kini.

Perbincangan bersama keluarga memutuskan untuk menggunakan kontena dilihat lebih sesuai untuk anak muda yang menginginkan kelainan.

“Perniagaan adalah ibadah. Jadi kami sekeluarga berbincang bagaimana untuk menggaulkan antara ibadah dan cara hidup masa kini dan hasilnya adalah tapak bazar niaga ini.

“Kami gunakan sarang (lot kedai) yang berbeza dari tapak-tapak bazar niaga sedia ada dan lebih menarik adalah ianya terletak di tepi pantai dimana pengunjung dapat menikmati keindahan semulajadi sambil meluangkan masa bersama rakan-rakan serta keluarga,” katanya.

Sementara itu, Affandi bercadang untuk memulakan fasa kedua bagi projek DapoPata ini sebelum bermulanya bulan Ramadhan.

Katanya, untuk fasa kedua ianya akan memuatkan 26 kontena panjang yang berukuran 12 meter namun perniagaan yang akan disediakan adalah berbeza.

“Untuk fasa seterusnya, kami masih meneruskan konsep sedia ada namun barangan yang akan dijual adalah barangan kering antaranya pakaian, jersi bola dan sebagainya,” katanya.

Tambahnya, pemilihan peniaga yang dilakukakan bagi melakukan perniagaan di sini amat dititikberatkan.

Katanya, beliau hanya akan memberi kebenaran kepada mereka yang serius untuk memulakan perniagaan.

“Tujuan saya membuka tapak bazar niaga ini adalah untuk membantu masyarakat kita meningkatkan taraf hidup mereka disamping membawa pulang konsep baharu dalam menaikkan pelancongan di Terengganu.

“Sebelum mereka mula berniaga di sini, saya telah berpesan kepada peniaga agar saling membantu dalam menaikkan perniagaan sesama mereka serta saling hormat-menghormati kerana ingin mengekalkan keharmonian dalam komuniti DapoPata,” katanya.

Sunday, February 7, 2016

Senibina Melayu, Islam, Inggeris Dalam Kota Lama Duyong

February 7, 2016

Usianya hampir 100 tahun, Kota Lama Duyong antara bahan sejarah yang kekal di Terengganu hingga hari ini.

Dibina pada tahun 1920 di Pulau Duyong, kota ini pada awalnya digunakan oleh individu tertentu untuk mengajar penduduk kampung membaca al-Quran.

Dipercayai bahan yang digunakan untuk membinanya termasuk madu, putih telur dan batu.

Setelah musnah akibat banjir pada tahun 1986, ia dibaik pulih pada tahun 1999 tanpa mengubah struktur pembinaan oleh pegawai kanan Pentadbiran Negeri Terengganu, Dato’ Biji Sura.

Ia satu-satunya rumah yang dibina dengan batu bata yang terletak di kawasan Pulau Duyong kecil.

Rumah tersebut di kelilingi oleh kubu dengan itu ia dinamakan Kota Lama atau Old Fort.

Pada asalnya, ia dicat biru dan kuning. Kota Lama menggambarkan penerapan nilai-nilai Islam pada senibina melayu Terengganu pada zaman pemulihan agama pada 1920-an.

Ini adalah satu tempat dimana kemasukan pengaruh British di Terengganu yang kuat pada lewat satu dekad sebelumnya. Merujuk kepada senibina Terengganu amat kaya dengan warisan binaan tradisional.

Kota Lama Duyong adalah salah satu contoh bagi pengaruh budaya barat, perkembangan Islam dan unsur-unsur melayu tradisional.

Rumah-rumah disana adalah sebahagian besarnya berdasarkan rumah tradisional melayu.

Pintu masuk utama menghadap ke utara dan ke laut, memudahkan pelancong datang ke pulau tersebut.

Seperti rumah-rumah melayu Terengganu yang lain, rumah tersebut menunjukkan persamaan dengan senibina rumah-rumah cina.

Bahagian utama rumah-rumah tersebut (Rumah Ibu) adalah lebih tinggi berbanding ruang-ruang yang lain sedangkan bahagian depan adalah aras yang paling rendah.

Gabungan antara struktur batang kayu dan konkrit digunakan untuk mencipta ruang yang menjurus ke arah tradisional dan Islam.

Sementara itu, lantai dibuat daripada simen, dinding yang diperbuat daripada batu-bata disusun pada ketinggian paras pinggang lelaki.

Pintu masuk utama adalah untuk pegawai-pegawai yang berpangkat tinggi dan pegawai-pegawai Inggeris.

Pintu masuk belakang adalah untuk saudara-mara Dato’ Biji Sura yang terdiri daripada 2 bahagian anak tangga yang berasingan.

Wanita-wanita juga menggunakan pintu masuk belakang. Pintu masuk ketiga adalah dibahagian barat, terus bersambung ke ruang dapur. Pintu masuk belakang adalah untuk kegunaan jiran-jiran dan penjual-penjual.

Pintu masuk di sebelah timur pula adalah untuk orang-orang kampung.

Hal ini menunjukkan bahawa Dato’ Biji Sura amat menitik beratkan keselesaan tetamunya dan orang asing yang amat peka terhadap perbezaan status dan jantina. Rumah tersebut juga menghadap ke Mekah, pada masa kasar ianya menunjukkan dari arah timur ke barat.

Walaubagaimanapun, salah satu contoh yang jelas bagi pengaruh Islam dalam ciri-ciri senibina Kota Lama adalah di mana terbinanya ruang yang diasingkan antara lelaki dan perempuan.

Setiap ruang masuk telah dibezakan mengikut status seseorang yang bakal melalui melalui ruang masuk tersebut.

22,000 Datang Terengganu Tengok Penyu

February 7, 2016

Lebih 22,200 pelawat dari dalam dan luar negara telah mengikuti program pendidikan kesedaran awam dan publisiti berhubung kehidupan penyu di Terengganu sepanjang tahun lepas.

Ketua Cawangan Pengurusan dan Pemuliharaan Sumber, Jabatan Perikanan Negeri, Rusman Rusdy berkata, daripada jumlah tersebut, hampir 400 orang adalah pelawat antarabangsa dan kebanyakannya dari Eropah.

“Sepanjang tahun lepas, kita telah mengadakan lebih 50 program pendidikan dan kesedaran awam kepada para pelawat yang melawat pusat pemuliharaan penyu di negeri ini,” katanya.

Menurut Rusman, pelawat-pelawat dari dalam negara kebanyakannya terdiri daripada pelajar pusat pengajian tinggi dan juga badan bukan kerajaan.

Pada tahun lepas, pihaknya juga telah menerima seramai sembilan orang sukarelawan dari Jepun untuk menjalankan kerja-kerja pemuliharaan penyu dan menggunakan 47 pekerja upahan bermusim untuk kerja-kerja mengambil dan menanam telur penyu untuk dieram serta menjaga kawasan rizab.

Thursday, February 4, 2016

Kesun Jelajah Setiap Daerah Persembah Tarian Singa

February 4, 2016

Tarian Singa Kesun ataupun dahulunya dikenali sebagai Kelab Kebudayaan dan Sukan Terengganu (Kesun) akan melakukan persembahan di setiap daerah di Terengganu bermula hari ini sempena sambutan Tahun Baru Cina.

Pengerusinya, Datuk Alex Ong berkata langkah tersebut diambil bagi mendekatkan lagi budaya masyarakat Cina kepada masyarakat terutamanya kaum-kaum lain.

Katanya, persembahan tarian singa itu adalah seni budaya masyarakat Cina bukannya acara keagamaan seperti yang digambarkan oleh kaum lain.

“Sempena Tahun Baru Cina ini, Tarian Singa Kesun akan melakukan persembahan secara menyeluruh di kawasan-kawasan tumpuan ramai selama dua minggu bermula hari ini sehingga 22 Februari ini.

“Dengan adanya aktiviti sebegini, diharapkan agar masyarakat dapat mengenali budaya kaum Cina dengan lebih dekat tanpa mengira agama dan bangsa mereka,” katanya.

Beliau ditemui pemberita pada Majlis Perasmian Tarian Singa Kesun yang dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Transformasi Kerajaan, Komunikasi dan Multimedia, A. Latiff Awang di Mydin Mall Gong Badak, Kuala Nerus, hari ini.

Tarian Singa Kesun dianggotai oleh 55 ahli yang terdiri dari pelbagai kaum antaranya Melayu, Cina dan India.

Pada majlis tersebut juga, turut diperkenalkan 10 kostum baharu yang dibawa khas dari China bagi sambutan Tahun Baru Cina pada tahun ini.

Kos keseluruhan kostum tersebut bernilai lebih dari RM60,000.

‘Masjid Siam’ Kampung Tuan Sudah Berdiri 185 Tahun

February 4, 2016

Dalam suasana hiruk-pikuk dan kepadatan penduduk di Bandar Chukai, Kemaman terdapat binaan tinggalan sejarah berusia lebih 185 tahun yang masih tersergam indah.

Terselindung di sebalik rumah-rumah moden, sebuah masjid lama yang masih kukuh berdiri sama megah dengan bangunan baru lain di sekelilingnya.

Masjid Kampung Tuan yang suatu ketika dahulu merupakan sebuah surau yang terletak di pinggir Sungai Limbong.

Namun disebabkan pertambahan penduduk, ia ditukar menjadi surau apabila banyak masjid baru yang lebih besar dibina bagi menampung keperluan penduduk di kawasan tersebut.

Menurut Pejabat Agama Daerah Kemaman, surau lama yang dibina pada tahun 1830 itu dibina oleh seorang guru agama berasal dari Pattani, Thailand, Syed Abdul Rahman Abdul Samad, yang melarikan diri ke sini akibat peperangan di negaranya.

Beliau mula membina surau tersebut bagi memudahkannya mengajar agama kepada penduduk kampung memandangkan kelasnya mendapat sambutan menggalakkan.

Selepas kematiannya, tempatnya diambil alih anaknya yang dikenali sebagai Tuan Wok dan ketika itu Abdullah Munshi dikatakan pernah ke surau tersebut untuk bersembahyang.

Struktur binaan yang klasik serta sedikit mengikut tradisi surau lama di Siam membuktikan bahawa ia dibina oleh pendatang tersebut.

Bumbungnya yang mempunyai empat lapis dengan menggunakan atap genting yang dibawa dari negara itu memberi suasana yang amat tenang apabila pertama kali melihatnya.

Selain itu, di atas bumbung pula diletakkan replika buah butung yang diperbuat daripada tembaga.

Difahamkan, replika buah butung itu dibina untuk diletakkan pada Masjid Keresek di selatan Thai tetapi pembinaan masjid itu tergendala lalu ia dibawa dan diletakkan di atas surau berkenaan.

Yang menariknya, menurut cerita penduduk, pembinaan surau berukuran 9.14 meter x 9.14 meter ini diperbuat dengan hanya menggunakan sebatang kayu cengal yang besar yang ditemui di hutan berhampiran.

Struktur mihrabnya berbentuk bulat difahamkan ditebuk daripada sebatang kayu cengal juga, sehingga seni dan ukirannya kelihatan sangat halus.

Struktur tingkap yang hanya berukuran lebih kurang 60 sentimeter dan dibina tanpa pintu, menyerlahkan lagi keaslian rekabentuknya.

Mungkin hanya memerlukan sedikit sahaja cahaya memasuki ruang solat itu bagi membolehkan ibadat dilakukan dengan kusyuk, justeru tingkap dan pintu dibina agak terhad.

Sebanyak 12 tiangnya pula disambungkan hanya menggunakan pasak dan tiada paku digunakan.

Setelah lebih 100 tahun dibina, Surau Kampung Tuan masih kukuh dan digunakan oleh penduduk sekitar termasuk menunaikan solat terawih pada setiap kali Ramadan walaupun masjid-masjid baru telah dibina.

Kerja-kerja konservasi oleh Jabatan Warisan Negara telah dilaksanakan pada tahun 2006.

Monday, February 1, 2016

Muzium Maya Terengganu Pertama Malaysia, Ketiga Di Dunia

February 1, 2016

Kerajaan negeri mula memperkenalkan Muzium Maya bagi membolehkan 33,000 bahan sejarah dan artifak milik Lembaga Muzium Negeri Terengganu dapat dilihat melalui capaian secara interaktif.

Muzium Maya Terengganu yang diwujudkan dengan kerjasama Universiti Kebangsaan Malaysia itu adalah pertama di Malaysia dan ketiga di dunia.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan Dan Kebudayaan Negeri, Tengku Zaihan Che Ku Abdul Rahman berkata, melalui program itu, pihak muzium bukan sahaja dapat menjimatkan kos, malah menjimatkan ruang pameran.

Katanya, terdapat banyak artifak yang tidak dapat dipamerkan kerana ruang yang sempit walaupun khazanah tersebut sangat bernilai tinggi.

“Projek ini juga dapat memberi kesedaran kepada pelawat tentang kepentingan warisan budaya yang ditinggalkan nenek moyang,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Perasmian Sompisium ICT Dalam Warisan Budaya dan Pelancaran Sistem Muzium Maya di Muzium Terengganu, hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Osman Muda, Pengarah Muzium Terengganu, Mohd Yusof Abdullah dan Timbalan Naib Canselor UKM, Prof Dato’ Imran Ho Abdullah.

Sementara itu, Imran memberitahu buat permulaan sebanyak 400 artifak dimuatkan ke dalam sistem itu, dan selebihnya akan diselaras secara berperingkat-peringkat.

“Kami yakin sistem muzium maya ini mampu memberi manfaat dan impak besar kepada masyarakat hasil daripada proses penyelidikan dan kerjasama erat enam pakar UKM,” katanya.

Wednesday, January 27, 2016

Perhutanan Terengganu Mahu Tubuh Persatuan Malim Gunung

January 27, 2016

Jabatan Perhutanan Negeri Terengganu berhasrat menubuhkan Persatuan Malim Gunung Terengganu sebagai langkah mengawal keselamatan pendaki dan menjaga kebersihan kawasan hutan lipur serta pergunungan di negeri ini.

Pengarahnya, Dato’ Azmi Nordin berkata, lebih 30 malim gunung disasarkan dapat berkhidmat di lokasi yang bersesuaian dan buat permulaan ia disediakan di kawasan Hutan Lipur Chemerong, Pasir Raja, Dungun, pada awal bulan Mac ini.

“Mereka akan dibayar mengikut pakej yang akan ditetapkan Jabatan Perhutanan, persatuan dan pihak berkaitan seperti agensi pelancongan.

“Kita akan melihat perkara itu dalam tempoh enam bulan, sekiranya menampakkan perkembangan positif terutama berkaitan penerimaan pendaki, perkhidmatan sama akan diperkenalkan ke Gunung Tebu, Besut,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, bagi tujuan itu, pihaknya mengalu-alukan orang ramai, terutama penduduk setempat yang mempunyai pengalaman mendaki, sihat fizikal dan mental serta mempunyai minat yang tinggi menjadi malim gunung.

“Setiap permohonan perlu dikemukakan kepada Jabatan Perhutanan berdekatan, sekiranya melepasi syarat ditetapkan, mereka akan dipanggil untuk mengikuti beberapa siri kursus sebagai syarat manjadi malim gunung,” katanya.

Azmi berkata, cadangan memperkenalkan malim gunung sangat wajar kerana bukan saja bertujuan menjaga keselamatan, pengangkutan barang malah peting bagi menjaga kebersihan.

“Berdasarkan laporan, kawasan hutan dan gunung di negeri ini mula dicemari pelbagai jenis sampah sarap, berikutan peningkatan jumlah pendaki.

“Sebelum ini hanya sekitar 200 individu sebulan, kini meningkat sekali ganda mencecah lebih 400 pendaki di Hutan Lipur Chemerong dalam tempoh sama, berkemungkinan faktor diviralkan ramai pihak,” katanya.

Tuesday, January 26, 2016

‘Beautiful Terengganu’ Ganti ‘Pesona Terengganu’

January 26, 2016

Kerajaan negeri komited menjadikan Terengganu destinasi tumpuan dunia dengan membuat penjenamaan semula program promosi Tahun Melawat Terengganu 2017.

‘Beautiful Terengganu’ diperkenalkan bagi menggantikan ‘Pesona Terengganu’ yang mempunyai matlamat hampir sama iaitu mempromosikan pembangunan sosio ekonomi negeri menerusi sektor pelancongan.

Terengganu menyasar kedatangan 6.5 juta pelancong menjelang tahun 2020 dengan mengetengahkan pelbagai produk baharu seperti Tasik Kenyir, Setiu Wetland, pulau-pulau peranginan, industri kraf tempatan, sejarah dan warisan serta keenakan makanan tradisional.

Selain itu, sektor pelancongan sukan dan kesihatan akan turut diperkasakan.

“Tahun 2015, Terengganu telah menerima kunjungan hampir 5 juta pelancong, di mana 16 peratus daripadanya adalah warga asing. Kita sasarkan angka ini meningkat kepada 6.5 juta dalam tempoh lima tahun akan datang.

“Yang kita pentingkan di sini adalah kualiti pelancong, bukan kuantiti. Berapa malam mereka menetap di Terengganu, banyak mana mereka berbelanja. Itu yang perlu kita promosikan supaya mereka menetap lama di negeri kita,” kata Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Razif Abd Rahman.

Ahmad Razif berkata demikian kepada media selepas Majlis Pra Pelancaran Tahun Melawat Terengganu 2017 di Kuala Lumpur, hari ini.

Hadir sama, Tengku Seri Temenggong Raja; Yang Dipertua DUN, Dato’ Zubir Embong dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Osman Muda.

Thursday, January 14, 2016

Kuala Besut Park Ubah Landskap Sungai Nail

January 14, 2016

Kuala Besut Park yang terletak di antara Kampung Tengah dan Pekan Baru, Kuala Besut bakal mengubah landskap pembangunan di kawasan tersebut apabila ia siap kelak pada 2018.

Berkeluasan 1.6 hektar, kawasan rekreasi itu akan dilengkapi dengan sebuah dataran terbuka serbaguna berbumbung, medan makanan laut, menara tinjau dan unit perkedaian berkonsepkan kedai dalam taman.

Turut diwujudkan, taman permainan kanak-kanak, persiaran pejalan kaki di tepi Sungai Nail, kawasan hijau serta beberapa lagi komponen yang mesra alam.

Dengan kos RM20 juta, ianya bakal dijadikan sebagai salah satu lokasi pelancongan terbaru yang membawa keunikan di dalam Kuala Besut.

ADUN Kuala Besut, Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman berkata, Kuala Besut Park juga dijadikan sebagai satu lagi lokasi bagi kegiatan ekonomi di kawasan tersebut khususnya ketika pasar tani pada setiap Isnin dan Jumaat.

“Pembinaannya yang akan bermula awal tahun ini selaras dengan kerja-kerja pengindahan Sungai Nail oleh Jabatan Pengairan dan Saliran bagi mewujudkan suasana damai dan tenang,” katanya.

Monday, January 11, 2016

UiTM Terengganu Rancang Bina Hotel Atas Pelantar Minyak

January 11, 2016

Universiti Teknologi Mara (UiTM) Terengganu merancang membina hotel di atas pelantar minyak sebagai tarikan baharu produk pelancongan khususnya di Daerah Dungun sempena Tahun Melawat Terengganu 2017.

Rektor UiTM Terengganu, Prof Madya Dr Abdol Samad Nawi berkata, pembinaan hotel berkenaan bukan sahaja dapat menarik pelancong dari dalam dan luar negara, malah boleh dijadikan sebagai pusat pengajaran dan pembelajaran Fakulti Pengurusan Hotel dan Pelancongan universiti berkenaan.

“Sekarang, dalam keadaan ekonomi tidak menentu, pelancongan satu bidang harus diberi penekanan penting dan saya yakin jika hotel ini siap, lebih ramai pelancong akan berkunjung ke sini dan mereka berpeluang bermalam di atas pelantar minyak bagi merasai pengalaman berbeza.

“Saya akan berjumpa Ketua Pegawai Eksekutif Petronas untuk berbincang bagi mendapatkan pelantar Petronas yang sudah tidak digunakan dan kalau boleh, kita akan letak pelantar berkenaan 10 batu nautika dari pesisir pantai Dungun dan ubah suai menjadikan hotel terapung di tengah-tengah laut,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis penutup Festival Hospitaliti 2016 di UiTM Terengganu Kampus Dungun.

Abdol Samad berkata, pembinaan hotel atas pelantar itu juga akan memberi pengalaman baharu kepada pelajar UiTM yang mengikuti kursus penyediaan makanan dan hospitaliti untuk menyediakan perkhidmatan di tengah-tengah laut.

“Biasanya mereka akan menjalani praktikal di hotel biasa tetapi kali ini mereka juga berpeluang menjalani praktikal di tengah laut dan boleh belajar cara berbeza kerana di tengah laut kita tidak gunakan gas untuk memasak tetapi guna tenaga elektrik, ini dapat membezakan graduan UiTM dengan universiti lain.

“Kalau Kerajaan Terengganu juga bersetuju dengan cadangan ini, saya rasa ia akan memberi impak yang besar kepada pelancongan Terengganu,” katanya.

Saturday, December 5, 2015

Terengganu Kuatkuasa Larangan Pelepasan Air Kumbahan Di Pulau Peranginan

December 5, 2015 Kerajaan negeri sedang menguatkuasakan larangan pelepasan air kumbahan atau air limpahan terus ke pantai atau laut bagi memastikan tahap kebersihan dan kelestarian Pulau Perhentian sentiasa terjaga. Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata, individu atau pemilik yang didapati melakukan kesalahan itu boleh diambil tindakan di bawah seksyen 86(B) Akta Jalan Parit dan Bangunan 1974 (akta 133). “Notis akan dikeluarkan dan penutupan premis akan dibuat sekiranya (pemilik) ingkar pada notis,” katanya menjawab soalan Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman (BN-Kuala Besut) pada persidangan Dewan Undangan Negeri, Khamis lalu. Ahmad Razif berkata, kerajaan negeri turut menguatkuasakan syarat pembinaan tangki septik dan telaga resapan bagi pembuangan air kumbahan dan air limpah di pulau itu. Menjawab soalan tambahan Tengku Zaihan mengenai perancangan jangka panjang untuk menaik taraf sistem kumbahan di pulau itu, Ahmad Razif berkata kerajaan telah meluluskan peruntukan bagi pembinaan fasa 1 loji rawatan kumbahan dalam Rancangan Malaysia ke-10. Beliau berkata melalui Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, projek itu akan dibangunkan di Kampung Perhentian, Teluk Aur dan Pasir Panjang di Pulau Perhentian Kecil serta di kawasan tadahan Teluk Dalam dan Teluk Keke (KK), Pulau Perhentian Besar di tapak seluas 1.2078 hektar. “Loji yang akan dibina kelak berkapasiti 4,000 (PE) akan dapat menampung hampir 70 peratus daripada keperluan penduduk di kawasan itu, manakala fasa seterusnya akan diteruskan dan peruntukan tambahan akan dipohon. “Pelaksanaannya dikawal oleh Jabatan Perkhidmatan Pembetungan (JPP) dan sehingga kini saya difahamkan, JPP dalam proses terakhir bagi terma rujukan dan dokumen tender bagi perlantikan perunding dan kontraktor,” katanya. Selain Pulau Perhentian, kerajaan negeri juga akan melaksanakan sistem kumbahan berpusat di pulau pelancongan yang lain kecuali Pulau Kapas di Marang berdasarkan kapasiti penduduknya yang rendah dan tiada keperluan mendesak di pulau tersebut. Ahmad Razif berkata sebuah syarikat dari Denmark juga berminat untuk membangunkan sistem kumbahan dengan teknologi terbaharu yang dapat menghasilkan gas untuk kegunaan lain yang akan dibangunkan pada tahun depan.

Masjid Tengku Tengah Zaharah

  Masjid Tengku Tengah Zaharah atau yang lebih biasa disebut Masjid Terapung adalah reka bentuk unik yang dibina di atas platform terapung, ...