Wednesday, May 12, 2010

Pameran Automotif Menarik

dipetik dari Utusan Malaysia Online - Timur


Antara motosikal antik yang terawal di Malaysia dipamerkan pada Pameran Automotif di Muzium Negeri Terengganu, Kuala Terengganu.

KUALA TERENGGANU 12 Mei – Dari segi sejarah, fungsi kenderaan automotif hanyalah sebagai pengangkut sama ada manusia atau barangan. Namun begitu peredaran masa sedikit demi sedikit telah mengubah kegunaannya.

Ia mula digunakan untuk tujuan rekreasi, berniaga, bersantai, lambang status, perlumbaan dan pelbagai lagi.

Penggunaan untuk pelbagai tujuan telah meningkatkan permintaan dan ini menyebabkan syarikat pengeluar pula berlumba-lumba memasarkan produk masing-masing dengan reka bentuk yang lebih canggih dari semasa ke semasa.

Realitinya dapat dilihat di pasaran ketika ini dengan berbagai-bagai jenama, bentuk, saiz, warna dan harga.

Di Malaysia, pada dua dekad awal selepas Perang Dunia Kedua, kenderaan berenjin masih menjadi barangan mewah dan hanya dimiliki oleh golongan berada.

Bagaimanapun pada akhir tahun 1970-an, ia mula menjadi barangan keperluan dengan majoriti isi rumah di negara ini mempunyai sekurang-kurangnya sebuah kenderaan.

Ketika ini terdapat jutaan kenderaan bermotor di atas jalan raya di Malaysia.

Namun begitu garis pemisah masih tetap ada dengan kenderaan mewah berada dalam kelas tersendiri dengan harga menjadi penentu.

Pemilikan kenderaan secara meluas adalah satu perkembangan positif yang mendatangkan manfaat kepada pengguna.

Bagaimanapun di sebalik perkembangan positif yang berlaku sejak kebelakangan ini timbul pula gejala sosial seperti samseng jalan raya, mat rempit, ragut, lumba haram dan pelbagai lagi masalah yang merunsingkan masyarakat.

Penguatkuasaan undang-undang dan kempen keselamatan masih kurang memberi kesan bagi membendung masalah ini.

Menyedari hakikat ini, pihak Lembaga Muzium Negeri mengambil pendekatan dengan mengadakan Pameran Automotif sebagai langkah bagi mendidik dan memberi kesedaran sekali gus mengimbau nostalgia kepada orang ramai.

Pameran selama dua bulan bermula sejak 4 Mei ini dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, Datuk Abdul Rahin Mohd. Said.

Pelbagai jenis kenderaan lama dan baru dipamerkan dalam pameran tersebut.

Antara dipamerkan termasuklah kereta lama yang pernah digunakan Sultan Terengganu sebelum ini dan pelbagai jenis motosikal dan kereta lama bernombor Plat T, TA dan sebagainya.

Pengarah Muzium negeri, Mohd. Yusof Abdullah berkata, antara lain program ini akan memaparkan tentang sejarah perkembangan automotif, fungsi dan tragedi.

Selain itu katanya, beberapa aktiviti sampingan yang melibatkan pihak polis, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) turut diselitkan bagi memberi panduan kepada orang ramai mengenai pemanduan berhemah dan keselamatan semasa di jalan raya.

‘‘Antara objektif pameran ini diadakan adalah untuk memberi pendedahan dan pengetahuan kepada masyarakat mengenai kenderaan automotif dari segi sejarah dan fungsinya,” katanya kepada Utusan Malaysia selepas perasmian pameran itu di sini baru-baru ini.

Mohd. Yusof berkata, pameran itu juga diharap dapat meningkatkan kesedaran masyarakat berhubung dengan penggunaan kenderaan secara lebih berhemah.

Selain itu, ia juga memberi peluang kepada masyarakat terutama generasi muda melihat dengan lebih dekat jenis-jenis automotif dari dahulu dan sekarang.

‘‘Dengan adanya pameran yang berlangsung selama dua bulan itu ia dijangka memberi peluang dan ruang kepada syarikat serta pengusaha bidang automotif mempamerkan produk mereka dengan tawaran yang istimewa,” katanya.

Sementara itu dalam perkembangan berkaitan, kerajaan negeri merancang untuk membina litar perlumbaan di setiap daerah dalam usaha membendung gejala rempit yang dilaporkan kian menular sejak kebelakangan ini.

Abdul Rahin berkata, kerajaan negeri juga mahu pertubuhan bukan kerajaan (NGO) turut terlibat dalam menganjurkan aktiviti permotoran melibatkan golongan muda di peringkat daerah.

Katanya, penglibatan NGO selain kelab-kelab permotoran dalam menganjurkan aktiviti berkenaan akan membantu mengadakan banyak aktiviti terutama di peringkat daerah.

‘‘Dengan ini, kita akan menyediakan tempat untuk mereka melakukan aktiviti permotoran dan sehingga kini sudah terdapat dua litar diwujudkan iaitu di Kompleks Sukan Negeri Gong Badak di sini dan di Lembah Bidong, Setiu.

Sebanyak RM400,000 telah diperuntukan untuk membina litar sepanjang 300 meter di Kompleks Sukan Negeri Gong Badak itu.

Litar tersebut kini digunakan untuk acara lumba motosikal sprint oleh pelbagai pihak termasuk kelab-kelab permotoran.

Litar di Lembah Bidong yang digunakan untuk acara ‘drift’ bagi kereta dan motosikal pula terpaksa ditutup selepas masyarakat setempat mengadu ia menjadi tempat penularan masalah sosial.

Monday, May 10, 2010

Masih belum terlewat untuk menyertainya

Oleh: Ruslan Abdul Rahman

Pertandingan mencipta blog atau laman web pelancongan anjuran Unit Komunikasi Negeri Terengganu yang telah bermula sejak 1 April lalu telah menggerakkan semangat awam untuk turut serta mempromosi dan menjana industri pelancongan di negeri ini.

Sehingga ini hampir 100 orang mendaftar untuk menyertai pertandingan ini dan sebahagiannya telahpun mengemukakan hasil ciptaan masing-masing. Pendaftaran masih dibuka hingga 30 Jun depan, bagaimanapun penyertaan yang awal amatlah dialu-alukan bagi mengelakkan kesibukan talian di saat akhir.

Pelancongan tidak boleh dilihat dalam skop yang kecil, lokasi dan destinasi semata-mata tetapi melibatkan soal budaya, seni yang cabangnya amatlah luas dan mempunyai nilai tersendiri dalam konteks galakan pelancongan.

Banyak produk-produk pelancongan yang boleh dikemukakan dalam pelbagai bentuk dan kreativiti peserta untuk memastikan blog atau website mendapat tempat di khalayak pengamal blog dan laman web.

Sektor pelancongan telah tebukti menjana ekonomi, tetapi kefahaman dan penglibatan rakyat perlu ditingkatkan dari semasa ke semasa yang menjadi tanggungjawab kita bersama menjayakannya.

Kesedaran memastikan destinasi pelancongan terpelihara dari segi khazanah alamnya, persekitaran menariknya dan budaya perlu dipertingkatkan.

Contohnya, hari ini kita dapati 200,000 pelancong setahun atau semusim berkunjung ke Pulau Redang, sudah tentu memerlukan kesedaran yang tinggi untuk menjaga dan memulihara keindahan pulau tersebut, jika tidak ia boleh mengalami pencemaran dan kemusnahan habitat dalam masa yang singkat.

Sementara itu menurut Pengarah Unit Komunikasi Negeri (UKOM), Rosli Zakaria pertandingan ini mendapat sambutan seluruh negara dan perkembangan ini amat positif sekali dalam usaha mempromosikan pelancangan Terengganu.

Bagaimana pun beliau berharap para peserta sentiasa mengaktifkan blog atau laman web pelancongan yang dikemukakan itu dan pihak UKOM sentiasa memantau perkembangan itu.

Kategori penyertaan pelajar sekolah wajar ditingkatkan kerana di sekolah hari ini sudah wujud Persatuan/Kelab Pelancongan Pelajar yang seharusnya menjadi medan untuk mendidik masyarakat berkaitan pelancongan seawal usia.

Begitu juga di peringkat pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT) penglibatan mereka secara akademik boleh memberi input yang berguna bagi membantu mencemerlangkan pelancongan dalam konteks Terengganu.

Masih belum terlambat untuk menyertai pertandingan ini dan untuk mendapat maklumat lanjut sila layari http://www.trgtourism.blogspot.com atau hubungi Unit Komunikasi Negeri (UKOM), Jalan Pejabat, 20200 Kuala Terengganu, nombor telefon: 09-6313502 (Petugas: Anida, Rozita atau Harun).

Masjid Tengku Tengah Zaharah

  Masjid Tengku Tengah Zaharah atau yang lebih biasa disebut Masjid Terapung adalah reka bentuk unik yang dibina di atas platform terapung, ...